Sebaik saja melihat aku anaknya yang dilahirkan selamat dan tak berapa sempurna ini,
wajah ibu tentu berkerut menahan kesakitan
tetapi akan bertukar dengan senyuman dan air mata keriangan
setelah mendengar tangisan ku yang pertama
Belum pun hilang sakit bersalin,
ibu terpaksa pula berjaga malam dek kerna rengekan ku
dan kerenah ku yang masih belum tahu apa-apa.
Namun demi aku anaknya yang amat dikasihi,
aku dijaga rapi 24 jam bersengkang mata
hatta seekor lalat mahu pun nyamuk tidak dibiarkan
hinggap pada badan aku yang masih kecil itu.
Pengorbanan demi pengorbanan
terus dicurahkan oleh ibu ku kepada aku
sejak dari dalam kandungan sehingga besar panjang
menjadi remaja dan dewasa
aku terus menjadi manusia dibawah jagaan dan didikan ibu.
Mengingat pengorbanan ibu,
menghalusi penderitaan ibu,
maka
segunung emas belum tentu dapat membayar
harga kasih sayang yang telah dicurahkannya.
Aku tahu,
kedudukan ibu adalah yang tinggi dan mulia
maka berbuat baiklah tiga kali kepada ibu sebelum bapa
mentaati ibu adalah syarat ke syurga
kerana syurga di bawah tapak kaki ibu.
Jangan biarkan ibu bersedih,
jangan biarkan ibu terluka,
jangan biarkan ibu kesunyian.
Jaga hati ibu agar tidak tersinggung.
Gembirakan ibu,
bukan sekadar menghulur wang atau kebendaan,
tetapi juga kasih sayang.
Hormati ibu setiap saat dan ketika
Aku sedar
Hubungan tak terputus begitu saja
walau pun selepas ibu meninggal dunia
Doa anak yang soleh penyambung amalan ibu.
Aku tahu,
antara isteri dan ibu,
ibu yang perlu didahulukan
kerana kedudukan ibu lebih tinggi dari isteri.
Kehendak isteri dipenuhi
tanpa menyinggung perasaan ibu.
Keperluan ibu pula dipenuhi
tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri
Ini penting untuk bahagia di dunia dan di akhirat.
Sekali lagi aku tegaskan,
ibu adalah insan paling istimewa,
ibu adalah insan yang tidak boleh di cari ganti,
ibu banyak sekali berjasa,
ibu sudah banyak berkorban
segala jasa dan pengorbanan ibu
tidak mungkin dapat dibayar balik
tidak mungkin dapat ditukar dengan wang ringgit
tidak mungkin dapat ditebus dengan harta benda dunia seisinya!
Aku insaf,
Berpaksikan kasih dan sayang,
ibu sanggup berkorban masa
ibu sanggup berkorban tenaga
hatta ibu sanggup berkorban nyawa
demi melihat aku anak yang dikandung selama sembulan bulan
dibesarkan dan menjadi manusia berguna dan bahagia.
Sepanjang usia menjaga ku selama 76 tahun
ibu tetap tabah
Sepanjang kehidupan ibu tidak pernah menyesal melahirkan aku
ibu tetap insan istimewa
Aku mahu mencari keredhaan ibu
kerana keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu.
Aku bermuhasabah selalu tentang perkara ini
kerana syurga dibawah telapak kaki ibu.
(NUKILAN INI ADALAH UNTUK MENGINGATI IBU KU YANG TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH PADA 21HB OGOS 2004,KIRA-KIRA 7 TAHUN YANG LALU)
SEMOGA ROH KEDUA IBU BAPAKU DITEMPATKAN DISYURGA.AMIN.
No comments:
Post a Comment