Friday, August 5, 2011

DOA KU

Ya Allah!
Aku tidak memohon Kau murahkan rezeki ku,
tapi Engkau berilah aku khudrat untuk mencarinya.

Ya Allah!
Aku tidak memohon jauhkan aku dari bencana,
tapi berilah aku kekuatan hati untuk menghadapinya.

Ya Allah!
Aku tidak memohon kebahagiaan dan kesejahteraan dari Mu,
tapi Kau ujilah aku dengan penderitaan
supaya dapat aku nikmati kebahagiaan sebenarnya.

Ya Allah!
Aku tidak memohon Engkau hindarkan aku dari segala macam nista dan fitnah,
tapi Engkau senjatailah aku dengan sabar dan tabah hati untuk menahannya.

Ya Allah!
Aku tidak memohon Engkau memberi kemenangan di pihak ku,
tapi  menangilah aku kerana keikhlasan dan kebenaran yang Kau redhai.

Ya Allah!
Kalau dalam menghadapi kekerasan,
kurniakanlah aku kelembutan hati untuk mematahkannya,
Kalau dalam menghadapi kelembutan,
kurniakan aku kekerasan untuk mencairkannya.

Ya Allah!
Aku tidak menolong kerana minta ditolong
Aku tidak memberi kerana minta diberi
Aku tidak menyayangi kerana minta disayangi
Aku tidak mencintai kerana minta dicintai
Aku hanya melakukan tugas ku dan menurut titah perintah Mu.

Ya Allah!
Jauhkan aku dari niat yang buruk,
Simpangkan aku dari hasad dan dengki,
Hindarkan perasaanku dari keinginan membalas dendam,
Pupuklah hatiku dengan kasih sayang
Dan mencintai sesama makhlukMu
Kurniakan aku kewarasan perasaan dan pertimbangan fikiran.

Ya Allah!
Jangan Kau golongkan aku di kalangan alim ulamak
tetapi izinkan aku menggolong diri di kalangan mereka yang mungkar,
supaya mereka dapat ku pandu menerusi sinar cahaya Mu.

Ya Allah!
Aku tidak memohon Engkau mematikan aku dalam keimanan,
tetapi matikanlah aku menurut kehendak Mu dan keredhaan Mu,
Sesungguhnya hanya Engkau saja yang mengetahui.
Inilah pinta dalam  doaku.

Amin ya rabbal 'alamin.

No comments:

Post a Comment