Sunday, August 7, 2011

AMALAN PEMAKANAN SIHAT SEMASA RAMADHAN

Berikut adalah tujuh amalan pemakanan yang lebih sihat semasa bulan Ramadhan:

1.Ketahui keperluan kalori anda dalam sehari,iaitu 2,000 kalori bagi lelaki dan 1,800 kalori bagi wanita.Anda boleh agihkan pengambilan makanan kepada 300 kalori  bagi juadah berbuka puasa,700 kalori bagi hidangan utama,300 kalori bagi moreh dan 500 kalori bagi bersahur.

2.Berbuka dengan 3 biji kurma,2 jenis kuih dan segelas air manis atau jus buah-buahan (tanpa gula tambahan) adalah memadai sebagai pengalas perut.Hidangan ini membekalkan 300 kalori.Jika anda memilih kuih-muih yang bergoreng atau bersantan,hadkan pengambilan kepada selang sehari.

3.Tunaikan solat Maghrib terlebih dahulu sebelum menjamah hidangan utama.Dari aspek kesihatan,ini akan memudahkan penghazaman semasa hidangan utama.

4.Sasarkan pengambilan 700 kalori bagi hidangan utama.Contoh hidangan utama yang lebih sihat seperti berikut:
           I.    Nasi putih                4 senduk                                  300 kalori
           II    Lauk ikan                1 ekor sederhana/1 keping       120 kalori
           III.  Tempe                    1 keping sederhana                   40 kalori
           IV.  Sayur berdaun         1 cawan                                   40 kalori
           V.   Buah-buahan           1 potong betik + 1 biji pisang    120 kalori
           VI.  Air manis                 1 gelas                                      100 kalori

5.Hadkan meminum air buah-buahan,kordial berperisa yang manis dan minuman panas 3 dalam 1 kepada satu gelas/cawan sahaja semasa hidangan utama.Utamakan air kosong.

6.Bagi hidangan moreh,hadkan kepada 300 kalori,contoh hidangan adalah bubur kacang: 200 kalori,sepotong tembikai 60 kalori dan teh O kurang manis ( 1 sudu teh gula) 20 kalori.

7.Sasarkan 500 kalori bagi hidangan bersahur.Contoh hidangan yang lebih sihat adalah 1 mangkuk sederhana oat,susu dan buah-buahan kering 400 kalori dan 1 cawan air manis 100 kalori.


Berikut adalah tujuh amalan yang lebih sihat semasa membeli juadah di Bazaar Ramadhan:

1.Jika boleh,sediakan senarai juadah yang hendak dibeli sebelum ke Bazaar Ramadhan dengan mengambil kira keperluan kalori harian.Seboleh-bolehnya beli makanan seperti yang disenaraikan saja.Ini boleh mengelakan pembelian yang tidak terancang/ MEMBAZIR.

2.Beli sekurang-kurangnya dua jenis buah-buahan segar untuk berbuka setiap hari.Selain sumbangan vitamin dan mineral,buah-buahan membekalkan serat yang penting untuk mengelak kejadian sembelit di bulan puasa.

3.Minta kurangkan sos cili,sos tomato dan mayonis yang ditambah pada burger,hotdog,roti john atau kebab yang dipesan.

4.Minta kurangkan air gula yang ditambah ke dalam minuman jus buah-buahan atau kordial berperisa yang dibeli.

5.Hadkan pembelian kuih-muih kepada dua jenis saja setiap hari.Jika pilihan anda adalah kuih yang bergoreng atau bersantan,hadkan pembelian kepada selang sehari.

6.Pastikan juadah utama anda mempunyai sayur-sayuran segar dan beli sekurang-kurangnya dua lauk sayur setiap hari.

7.Jadikan ikan sebagai pilihan utama lauk anda,berbanding ayam atau daging sebagai sumber protein.Pilih lauk-pauk yang dimasak dengan cara yang lebih sihat seperti panggang,rebus atau kukus.


Untuk maklumat lanjut,sila layari laman sesawang http://www.nutriweb.org.my


(ARTIKEL DIPETIK DARI TIPS RAMADHAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA)

No comments:

Post a Comment